aktiviti bayi 6 bulan

Beberapa minggu pertama

Ting ting tang ting…

Atau apa – apa sahaja dendangan lagu untuk bayi anda. Menurut Pakar psikologi dengan nyanyian boleh mengeratkan hubungan si ibu dan ayah dengan bayi. Walaupun mungkin bayi anda tidak mampu memahami butir nyanyian yang si ibu dan ayah nyanyikan kepadanya. Jika anda seorang Muslim lebih elok lagi berselawat dan berzikir kepada bayi comel anda untuk membiasakan telinganya dengan nama – nama Allah dan ayat suci.

  • Berborak seolah – olah mereka sudah boleh bercakap.

Walaupun kadang kala kita akan nampak seronok sendiri dan si bayi anda akhirnya hanya merenung mata anda atau ada kala sedikit tersenyum dengan perbualan anda, teruskanlah perlakuan anda tersebut. Ini kerana, menurut Prof Anne Fernald seorang pakar psikologi perkembangan di Universiti Stanford, berbual dengan bayi akan membantunya menangkap rima dan paten bahasa pada seawal usia bayi. Sudah pasti anda sedang mengembangkan potensi kepandaian linguistiknya.

1-2 bulan

  • Baby Playmat/ Baby Gym

Inilah masanya untuk mengalaskan tempat pembaringan bayi anda dengan alas bayi yang mempunyai tekstur, warna yang pelbagai. Jika mampu memiliki satu baby playmat adalah pelaburan pendidikan yang baik untuk bayi. Selalunya baby playmat mempunyai tempat untuk menggantung mainan. Hal ini dapat membantu meningkatkan koordinasi mata bayi apabila mainan tersebut bergoyang. Apa yang penting, pastikan ia sentiasa bersih untuk bayi.

  • Aerobik Bayi

Jangan pula anda membuat tabata atau high impact kepada bayi anda. Cukup sekadar beberapa pergerakan lembut untuk membantu menguatkan otot – otot bayi dan pastinya menyeronokkan bayi anda. Saya suka membuat pergerakan menyilangkan tangan bayi saya secara perlahan dan lembut serta senaman kayuhan basikal. Bayi saya amat terhibur dan menghadiahkan senyuman apabila saya lakukan senaman ini kepadanya.

2-3 bulan

  • Tummy time

Daripada anak pertama sampailah anak ketiga, aktiviti ini tak pernah saya tinggalkan. Penting tau aktiviti ini kepada bayi. Tummy time membantu bayi menguatkan otot lengannya dan bahagian belakang badan yang nanti akan digunakan semasa bayi sudah berpusing dan duduk. Untuk melakukan aktiviti ini, perlu pengawasan yang rapi dan pastikan bayi diletakkan atas tilam yang rata serta diampu dibahagian dada. Jangan buat terlalu lama atau semasa bayi sedang menangis.

Namun, semasa bayi tidur pastikan bayi berada dalam posisi baring di atas belakang badan dan bukan dalam keadaan meniarap untuk mengelakkan SIDS.

  • Aktiviti Suluh (Flashlight time)

Pada tahap usia ini, mata bayi sudah mulai fokus. Mereka boleh membezakan gelap dan terang. Jadi, apa kata gunakan kegelapan malam dan letakkan bayi dalam bilik yang mempunyai lampu yang malap. Kemudian, ibu atau bapa suluhkan lampu ke seluruh bilik dan kemudian berhenti di satu – satu objek. Sebutlah nama objek dan bercerita kepada bayi tentang objek yang disuluh. Wah, pastinya si bayi seolah – olah sedang berada dalam kelas literasi yang akan membantu dalam belajar membaca di kemudian hari.

3-4 bulan

  • Jom kita terbang, sayang

Hohoho. Bagi para ibu yang sering mengeluh tiada masa untuk beriadah atau bersenam, inilah masa yang sesuai untuk anda mengeluarkan peluh sambil bermain dengan bayi anda. Tambah pula kalau baby anda macam baby Iki (Pujaan Hati Kanda). Memang workout yang terbaik. Caranya mudah sahaja. Mulakan dengan meniarapkan bayi anda dan pastikan bahagian dada hingga perut bayi berada di atas betis anda dalam keadaan kaki yang dibengkokkan. Depangkan tangan anda sambil memegang kedua – dua belah tangan anak. Hah, boleh bayangkan tak? Kemudian, hayunkan kaki dan angkat setinggi yang boleh seperti kapal terbang. Mesti anak anda akan ketawa terkekek – kekek.

  • Tiup buih

Kot – kot planning nak pergi piknik dan terjumpa padang rumput yag best macam dekat oversea, cuba baringkan bayi anda di atas rumput tersebut. Jika bayi sudah mampu meniarap boleh cuba tiarapkan mereka di atas rumput tersebut. Sambil- sambil bayi menikmati sensori rumput, tiupkan buih di hadapan mereka dengan jarak yang selamat. Agak – agak la ye. Karang dekat sangat, mata masuk buih pulak (bukan habuk ye), cerita lain pula jadi.

Waktu ini, kanak – kanak sudah dapat mengagak jarak  dengan baik. Jadi melihat buih yang ditiup terbang tinggi atau pop jatuh ke tanah dan hilang merupakan senaman mata yang menyeronokkan untuk si bayi anda.

4-5 bulan

  • Hah, apa yang berlaku?

Pada usia ini bayi anda sudah mula mengembangkan bakat mereka untuk menjangka apa yang akan berlaku seterusnya. Contohnya jika anda bermain uuuucaaak dengan mereka sambil menutup muka dengan tangan berulang kali dan kemudian membukanya, mereka sudah boleh menjangkakan perkara yang sama akan berulang selepas itu.

Lagu adalah cara terbaik untuk mempraktikkan permainan ini. Cuba mainkan lagu seperti “Humpty Dumpty” dan jatuhkan anak anda secara lembut ketika lirik “Humpty get a fall”. Pasti mereka teruja dan mengekek ketawa.

Jika anda buntu apa yang nak dilakukan dengan bayi anda pada suatu hari, ambil sahaja album foto keluarga anda. Boleh jadi foto keluarga itu terdapat gambar keluarga kecil anda sahaja atau lebih baik juga anda ada simpanan album keluarga besar dan caranya sangat mudah, hanya tunjukkan gambar – gambar tersebut sambil bercerita kepada bayi anda perihal gambar. Seelok – eloknya gambar bersaiz besar supaya mata bayi mudah untuk menangkap gambar. Bukan sahaja baby boleh mengenali ahli keluarganya malah perbendaharaan kata boleh bertambah.

5-6 bulan

  • Jom bergendang.

Pada usia ini anda mungkin sudah mengenalkan bayi anda dengan makanan. So yummy. Apa kata, pada masa yang lain gunakan piring, cawan dan sudunya yang berwarna warni itu untuk bermain gendang. Mesti bayi anda begitu teruja mendengar bunyi yang keluar apabila sudu dan piring berlaga. Dan anda boleh mengajar bayi anda untuk mengetuk peralatan makanannya itu sendiri kerana pada usia ini juga seharusnya bayi sudah pandai memegang barang dengan tangannya sendiri walaupun sekejap. Yang penting pastikan piring dan cawannya bukan kaca!

Sedar tak sedar bayi kita yang tapak kakinya sebesar 2 jari kita kini sudah separuh tahun umurnya. Dan semestinya pertambahan umurnya bukanlah sia – sia semata – mata kerana setiap milestone umurnya telah dipenuhi dengan aktiviti yang menarik dan membantu perkembangan pendidikannya. Siapa kata pada 6 bulan pertama ini tiada aktiviti yang boleh dilakukan dan hanya menyerahkan kepada gajet semata – mata?

Anda yang menentukan masa depan mereka.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Your Cart