berat naik mengandung

(KIsah ini dirakamkan dalam buku Tahniah Puan Hamil, 2015 dan berdasarkan pengalaman saya sendiri)

Awal Januari 2014, saya dan suami pulang ke tanah air setelah 4 tahun di perantauan menuntut ilmu. Waktu itu, kandungan saya sudah masuk ke minggu 34, bermakna minggu itu adalah minggu terakhir saya dibenarkan untuk menaiki kapal terbang. Berdebar-debar juga perasaan ketika menaiki pesawat MH tersebut.

Namun, senyuman pramugari ketika menerima kami ke dalam pesawat memberikan keyakinan kepada saya bahawa semuanya akan berjalan dengan baik.

“Kepada rakyat Malaysia, kami ucapkan selamat kembali ke tanah air.”

Pengumuman pramugari tepat jam 8.30 malam melegakan hati kami kerana sudah selamat sampai ke destinasi Malaysia tercinta. Kepenatan memang tidak tergambar memandangkan di hujung kehamilan, saya perlu menempuh perjalanan selama 8 jam. Kami pun melangkah turun dari pesawat dan ibu mertua saya sudah menanti kami untuk pulang ke Kuala Kangsar.

Sebelum sampai ke destinasi yang dituju, kami singgah di R&R lebuhraya PLUS untuk menunaikan solat. Semasa membuka sarung kaki tiba-tiba ibu mertua menegur saya, “Eh kaki kamu ni bengkak ke?”

“Oh taklah Umi, kaki saya biasa je. Tak bengkak pun”, saya menolak sangkaan ibu mertua kerana sebelum ini saya tidak mengalami sebarang bengkak kaki seperti kebiasaan yang dialami oleh ibu hamil lain.

“Ini bengkak ni, nanti kalau duduk letak kaki tinggi sikit, jangan biar tergantung”, nasihat Umi.

Saya hanya mengangguk kerana hati masih menolak sangkaan tersebut, tidak merasa apa-apa kelainan. Apa yang saya alami hanyalah rasa tidak selesa pada badan sewaktu tidur. Sudah lama saya tidak menikmati tidur yang selesa kerana sering mengalami sakit dibahagian tulang belakang semenjak usia kehamilan mencecah 7 bulan.

Namun, setelah beberapa hari berlalu barulah saya perasan teguran ibu mertua memang benar. Kaki dan jari tangan saya memang bengkak. Tetapi sebenarnya baru membengkak apabila pulang ke Malaysia. Mungkin disebabkan faktor terlalu lama duduk dan kaki dibiarkan tergantung.

Dalam hati saya bermonolog, “Nampaknya kena beli kasut baru ni!”

Berat naik pulak dekat due bersalin

Penghujung minggu ke – 35 kehamilan, saya pulang ke Johor rumah ibu saya setelah seminggu berada di Kuala Kangsar. Bimbang juga hati ini apabila melalui perjalanan yang jauh selama 8 jam dari Kuala Kangsar ke Kluang. Siapa tahu, tiba – tiba bayi mahu keluar awal dan saya bersalin di tengah – tengah perjalanan. Maklumlah, anak pertama dan saya masih tidak mempunyai apa – apa pengalaman.

Alhamdulilah, setelah melalui perjalanan yang panjang, saya dan suami akhirnya sampai ke destinasi. Kepenatan memang tidak tergambar ketika itu. Lebih – lebih lagi dengan keadaan kaki yang bertambah bengkak dan kebas. Adik membantu saya mengurut kaki yang bengkak itu. Nenek yang kebetulan ada di rumah mengesyorkan saya untuk merendamkan kaki dalam air suam yang dicampur dengan garam.

Tanpa banyak soal, saya hanya mengikut saranan tersebut. Alhamdulilah, bengkak kaki sedikit berkurangan. Keesokan harinya, tanpa berlengah saya terus mendaftar di klinik ibu dan anak (KKIA) berdekatan dengan rumah untuk pemeriksaan mingguan.

Biasanya pada bulan terakhir kehamilan, para ibu perlu mendapatkan rawatan secara mingguan iaitu setiap minggu baru kehamilan sehingga bayi dilahirkan. Hal ini bagi memastikan keadaan ibu dan bayi tidak mengalami sebarang permasalahan serius kerana pada penghujung kehamilan sering berlaku pelbagai risiko yang tidak dijangka.

Alhamdulilah pada minggu ke 36 rawatan, keadaan saya dan bayi stabil dan tidak mengalami sebarang permasalahan kecuali oedema ( kaki bengkak). Namun, pada minggu ke 37 dan 38, berat saya bertambah melebihi 500g dalam tempoh seminggu.

“Hmmm, berat awak ni naik banyak ni. Kalau begitu, awak perlu datang ke klinik untuk pemantauan tekanan darah”, jururawat memaklumkan.

“Maksudnya?”, saya bertanya kerana kurang memahami.

“Kami risau jika kenaikan berat abdan melebihi 500g dalam tempoh seminggu boleh menjadi punca awak terkena sawan (praeklampsia). Bila ibu mengalami sawan, oksigen tidak sampai kepada bayi dan boleh menyebabkan bayi lemas”, terang jururawat tersebut.

Disebabkan kondisi tersebut, maka saya perlu berulang alik setiap pagi memeriksa bp termasuklah air kencing dan berat badan. Alhamdulilah, walaupun kenaikan berat badan mendadak lebih 500g dalam tempoh seminggu, namun tekanan darah dan air kencing saya dalam keadaan yang stabil.

Saya hanya menyimpulkan, mungkin ini kerana baru pulang ke Malaysia, semua makanan yang saya rindukan hendak dicuba sebelum berpantang lama. Oleh kerana rasa lelah juga di hujung kehamilan perlu ulang alik ke klinik setiap hari, saya nekad untuk lebih berhati – hati mengawal selera makan bagi mengelakkan kesan yang lebih memudaratkan diri dan anak di kemudian hari.

Alhamdulilah saya bersalin pada minggu ke 40 kehamilan dan selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Pengalaman pertama mengandung yang begitu mengujakan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Your Cart