Seperti kebiasaan malam sebelum tidur abi akan bercerita kepada anak-anak. Abang Ukasyah dan Ubaydahlah paling teruja nak mendengar cerita abi. Cuma malam itu cerita abi bukan tentang kisah nabi. Abi bawakan sebuah cerita lain dan Umi seperti biasa hanya memasang telinga sambil menyusukan bidadari (hawra) Sofiy.

Ceritanya begini,

Ada seorang budak bernama Ahmad. Dia bersekolah di sekolah agama. Yang menariknya Ahmad ini disayangi oleh gurunya berbanding rakan-rakannya yang lain. Terdetik dalam hati Umi yang sedang mendengar cerita Abi ‘ macam mana la kawan – kawan Ahmad tu boleh fikir sampai macam tu.’

Baiklah sambung balik cerita abi. Jadi kawan – kawan Ahmad sedikit cemburu dengan layanan guru mereka kepada Ahmad yang mereka rasa lebih daripada layanan guru kepada diri mereka sendiri. Sampailah satu hari rakan – rakan Ahmad memberanikan diri bertanya kepada guru. Dalam hati umi mengomel sendiri, nasib baiklah kawan – kawan Ahmad ni pergi tanya cikgu depe, kalau terus ‘pedajal’ Ahmad macam situasi yang sering berlaku sejak kebelakangan ni kesian anak- anak umi dengar ending tak best.

Ok habis dah mengomel Umi pasang telinga dengar cerita abi lagi. Bertanyalah kawan – kawan Ahmad kepada pak guru.

“Guru, kenapa Ahmad begitu istimewa di mata guru?”

Berdebar juga nak tahu alasan guru tu. Tapi ini jawapan guru mengikut cerita abi.

“Kamu nak tahu kenapa?, esok beritahu semua murid bawa sebiji telur setiap seorang”.

Keesokan harinya bawalah setiap seorang sebiji telur termasuk Ahmad. Kemudian guru meminta semua murid untuk melakukan aktiviti menyembunyikan telur yang mereka bawa tanpa ada sesiapa tahu di mana mereka sembunyikan telur mereka. Selepas itu mereka perlu berkumpul semula depan guru tersebut. Bersungguh – sungguhlah anak murid guru tersebut menyembunyikan telur mereka supaya tidak ada orang pun nampak tempat persembunyian telur masing – masing.

Setelah semua siap melakukan tugasan berkumpul semula semua di hadapan guru mereka. Dari jauh si guru sudah melihat wajah keresahan Ahmad yang sedang mengenggam sesuatu di dalam tangannya yang sudah pastilah sebiji telur yang sepatutnya disembunyikan.

Rakan – rakan Ahmad lagilah pelik dengan situasi Ahmad. Macam mana Ahmad ni boleh jadi kesayangan guru sedangkan Ahmad tidak ikut arahan yang gurunya berikan.

“Kenapa kamu tidak sembunyikan telur kamu?”, lembut guru bertanya.

“Saya dah cuba pergi ke semua tempat tapi bila saya dah jumpa tempat yang sesuai saya teringat yang Allah itu Maha Melihat dan nampak dekat mana saya sembunyikan telur saya. Jadi, puas saya cari tempat yang sesuai tapi tak jumpa sebab semua tempat Allah boleh nampak.

Mendengar jawapan Ahmad barulah rakan – rakan Ahmad faham kenapa guru mereka menyayangi Ahmad.

Jadi anak- anak abi kita kena percaya yang Allah nampak apa yang kita buat. Sebab tu kita kena buat baik, jadi soleh supaya Allah nampak yang baik – baik sahaja kita buat kata abi mengakhiri ceritanya.

Umi Atiqah

Tukang catat cerita abi

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Your Cart