tips anak bijak dalam perut

Seawal kehamilan berusia lima bulan, gerakan-gerakan halus boleh dirasakan seperti yang saya alami. Kadangkala, ada sesetengah ibu yang merasakan gerakan kandungannya pada usia kehamilan lebih awal iaitu empat bulan atau lebih lambat daripada itu. Kebiasaannya, para ibu kurang menyedari pergerakan bayi dalam kandungan kerana baru pertama kali hamil.

Pengalaman saya berjumpa dengan seorang ibu yang hanya mendapat bayi setelah 8 tahun berusaha, beliau tidak sedar beliau mengandung sehingga kandungannya mencecah 8 bulan! Walau cepat atau lambat, apabila gerakan bayi sudah mula terasa, itulah nikmat yang cukup besar kerana menyedari diri benar-benar hamil.

Namun, usah kita biarkan gerakan-gerakan tersebut berlalu begitu sahaja. Ambil peluang tersebut untuk berkomunikasi dengan si kecil yang berada di dalam rahim. Bagi saya, waktu inilah yang akan saya gunakan untuk berbual dengan bayi dalam kandungan.

“Tak sabar Umi nak tengok wajah anak umi, tangan anak umi yang mulus, hidung dan bibir anak umi yang comel, macam siapa ya…”

“Anak umi tengah buat apa tu? Umi sayang anak umi dalam perut umi ni…”

“Anak umi membesar dengan sihat ya dalam perut umi, jadi anak yang soleh, bijak dan taat kepada Allah dan Rasul..” dan banyak lagi dialog-dialog komunikasi saya dengan si kecil dalam rahim.

Berkatalah apa-apa sahaja kepada anak yang kita kandungkan kerana ini akan membiasakan si kecil dalam rahim dengan suara ibunya. Selain itu, apabila anak ini lahir nanti, emosinya menjadi lebih stabil, kurang merengek dan cepat mempelajari sesuatu yang ada dipersekitarannya.

Begitulah ilmu yang saya peroleh daripada video motivasi Datuk Hassan Din al-hafiz yang berkisarkan cara mendidik anak bijak sejak alam rahim. Kesannya, anak saya kini cepat belajar dan kurang kerenah.

Lebih-lebih lagi sebagai Muslim, selain berkomunikasi dengan si kecil, memperdengarkan bacaan al Quran sama ada melalui kaset, CD ataupun MP3 adalah satu medium yang terbaik untuk berinteraksi dengan bayi. Lebih elok jika bakal ayah kepada bayi tersebut yang membacakan ayat al Quran sambil mengusap perut isterinya.

InsyaAllah, jalinan mesra antara ibu, ayah dan anak akan lebih mudah dibentuk selepas kelahiran. Anak saya sendiri tidak ada masalah jika ayahnya yang memegang semasa bayi kerana dia sudah terbiasa dengan suara ayahnya semasa dalam perut lagi.

Sekiranya berpeluang, perdengarkan juga suara ibu dan ibu mertua samada secara langsung atau melalui corong telefon agar bayi mesra dengan suara-suara tersebut yang akan berada di sekelilingnya kelak. InsyaAllah, bayi yang akan dilahirkan nanti pasti bijak dan matang kerana interaksi minda dan emosinya sudah berkembang sejak dalam kandungan lagi.

Ingat lagi waktu mengandung anak yang sulung, saya dan suami masih menuntut di luar negara jadi hanya panggilan video atau panggilan telefon yang selalu kami lakukan untuk menghubungi keluarga di Malaysia. Waktu itu, ada kala saya akan merapatkan telefon dekat sedikit dengan perut supaya suara famili dapat didengar oleh bayi saya yang sedang dalam kandungan. Alhamdulilah apabila baby saya lahir suara atok dan nenek tidak asing baginya walaupun semasa mengandung saya jauh daripada keluarga.

Antara tips lain yang boleh anda lakukan juga ialah:

  1. Urut perut anda perlahan-lahan seawal trimester pertama sama ada menggunakan losyen atau minyak aromaterapi untuk membina ikatan antara ibu dan janin.
  2. Penguasaan pelbagai bahasa boleh bermula sejak dalam kandungan jika anda memberikan bunyi, lagu atau suara daripada bahasa yang pelbagai kepada bayi di dalam rahim.
  3. Mengunyah semasa hamil memang menyeronokkan, tetapi mengapa kita tidak gantikan kudapan yang tidak seimbang kepada kekacang seperti badam kearana kekacang mengandungi folat yang tinggi untuk tumbesaran otak bayi.
  4. Sebagai Muslim, Al Quran merupakan mukjizat yang menjadi penawar. Oleh itu, amalkan membaca Al Quran sambil mengusap perut anda.
  5. Amalkan pemakanan sunnah seperti kurma, delima dan minyak zaitun kerana mengandungi khasiat yang baik untuk tumbesaran bayi terutama pada awal kehamilan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Your Cart